KUALA LUMPUR, 24 Oktober- Lebih 10,000 peserta dijangka membanjiri Stadium Axiata Arena Bukit Jalil bagi Himpunan Malaysia Bersama Palestin hari ini, bermula pukul 6.00 petang.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata himpunan tersebut akan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memberi sokongan pada program tersebut.
"Malam ini sekitar pukul 9.00 malam ada lintas lansung dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di lokasi.
"Saya juga difahamkan terdapat beberapa media yang lain akan turut serta memberi sokongan kepada perhimpunan ini.
"Saya harap ramai yang akan hadir bersama kita," kata Fahmi kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Global Piace Mission Malaysia (GPM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata 40 badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam isu kemanusiaan dan juga beberapa selebriti akan turut serta memberi sokongan dalam perhimpunan tersebut.
"Ini adalah insentif yang sebenarnya datang daripada hasrat perdana menteri.
"Saya fikir ini satu kekuatan kebersamaan rakyat Malaysia dalam melihat isu Palestin ini," kata Ahmad Fahmi.