fb fb fb fb fb

Himpunan 25K Huffaz: Usaha angkat martabat institusi tahfiz tempatan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Himpunan 24K Huffaz tahun lalu

KUALA LUMPUR, 14 Februari- Himpunan 25K Huffaz akan dianjurkan sekali lagi tahun ini sebagai manifestasi kepada usaha kolektif dalam mengangkat martabat institusi tahfiz dan meraikan generasi huffaz yang menjadi penyuluh kepada masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata institusi tahfiz memainkan peranan penting dalam pembinaan generasi al-Quran, yang menjadi bukan sekadar tempat menghafal al-Quran, tetapi pusat pembentukan generasi rabbani yang memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran suci ini dalam kehidupan seharian.

Menerusi satu kenyatan, beliau beriltizam untuk memastikan institusi huffaz terus dimartabatkan agar lebih ramai huffaz lahir bukan sahaja mahir dalam hafazan, tetapi juga memiliki keupayaan intelektual dan kemahiran yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata perkembangan institusi tahfiz di Malaysia amat membanggakan dengan terdapat 18 maahad tahfiz negeri dan 1,058 maahad tahfiz swasta yang beroperasi di seluruh negara.

"Jumlah pelajar tahfiz kini mencapai 55 ribu orang, dengan hampir 8ribu tenaga pengajar yang berdedikasi, sekali gus membuktikan bahawa minat masyarakat terhadap pendidikan tahfiz semakin tinggi, mencerminkan kesedaran yang semakin berkembang terhadap kepentingan pembinaan generasi al-Quran.

"Program Pra-Tahfiz Tabika KEMAS pula bukan sahaja membina asas kukuh dalam pendidikan tahfiz, tetapi juga menanam nilai-nilai Islam yang akan membentuk jati diri mereka sejak kecil," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata program itu juga mampu menjadi asas kepada sasaran melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050, satu visi besar untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai pusat rujukan pendidikan al-Quran bertaraf dunia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE