fb fb fb fb fb

High School Bukit Mertajam terima RM500,000 untuk naik taraf

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto RTM

BUKIT MERTAJAM, 30 Ogos - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada High School Bukit Mertajam untuk menaik taraf kemudahan di sekolah berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata daripada jumlah tersebut, RM225,000 diperuntukkan untuk projek naik taraf surau, manakala RM275,000 akan digunakan bagi pembangunan mendesak lain di sekolah itu, termasuk penambahan dan naik taraf kelengkapan sedia ada.

"Keperluan anak-anak beragama Islam di sini sangat mendesak kerana tiada surau yang teratur. Maka, saya luluskan projek sekitar RM225,000 untuk pembinaan surau, dan tambahan suku juta lagi untuk pembangunan mendesak di seluruh High School," katanya ketika melakukan kunjungan ke sekolah tersebut, di sini.

Sementara itu, pengetua sekolah, Mohd Lazim Sabir berkata usaha menaik taraf akan dimulakan segera setelah peruntukan diterima.

"Keutamaan kami adalah keselesaan murid. Surau yang ada sekarang sempit kerana bilangan pelajar Islam semakin ramai, jadi kita akan besarkan saiz surau dan meningkatkan kemudahan seperti penyaman udara.

"Selain itu, kami juga akan memperbaiki kipas dan pencahayaan di dalam kelas untuk memastikan keselesaan dan keselamatan murid," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN