Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 3 Disember- Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang baru dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri, yakin Kerajaan Perpaduan yang dibentuk mampu menangani cabaran demi kepentingan Malaysia dan seluruh rakyat.
Beliau berkata, ia dapat dicapai dengan syarat semua pihak perlu menghentikan provokasi dan tindakan yang berupaya mencetus kegusaran rakyat.
"Usah diganggu ketenteraman dan perpaduan masyarakat serta usaha kerajaan untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara selepas ini.
"Mari kita bersama sebagai rakyat Malaysia bermuafakat demi masa depan Malaysia yang lebih baik buat semua," katanya melalui hantaran Facebook selepas pengumuman senarai menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, pada malam Jumaat.
"Saya dengan rendah hati bersyukur kepada Allah SWT diatas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Terima kasih di atas kepercayaan Perdana Menteri kepada saya dan rakan-rakan dalam BN untuk berada dalam Kabinet.
"Amanah ini bukanlah 'ghanimah' (harta rampasan perang), namun satu ;taklif' iaitu tanggungjawab yang sangat berat dalam suasana ekonomi dunia diramal amat mencabar tahun depan.
"Tahniah diucapkan kepada semua yang terpilih dan semoga gandingan semua pihak ini akan menghasilkan kejayaan luar biasa kepada negara.
"Kita hentikan ketidakstabilan politik yang telah banyak merosakkan serta merencatkan kemakmuran Malaysia," katanya.
(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/BERNAMA)
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam Jumaat mengumumkan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut memegang jawatan sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Buat pertama kalinya, pentadbiran Malaysia memiliki dua timbalan perdana menteri, termasuk seorang dari Sarawak apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar turut melantik Datuk Seri Fadillah Yusof.