GEORGE TOWN, 10 Oktober- Hentikan semua spekulasi karut berhubung kehadiran dua kapal latihan China ke Pulau Pinang, minggu lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, ini kerana kehadiran dua buah kapal latihan dari China untuk ke Pulau Pinang adalah atas urusan rasmi dan hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dengan China.
Kunjungan tersebut bukan dibuat oleh Tentera Laut China, namun ia melibatkan pelajar Naval University of Engineering China ke Sekolah Menengah Chung Ling, sebuah sekolah persendirian.
"Tidak timbul soal tentera China datang, itu tidak timbul sama sekali. Kita memberi perhatian penuh kepada isu ini dan sebab itu, untuk mengelak salah faham dan fitnah-fitnah yang berpanjangan pihak sekolah telah pun membuat laporan polis.
"Jadi untuk penjelasan itu saya fikir ini sangat penting bahawa ia bukan kedatangan tentera-tentera China, seperti mana yang digambarkan tetapi program pertukaran kebudayaan antara sebuah sekolah dan university," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Pentas Pidato Kesejahteraan Mental USM 2024 di Dewan Budaya, USM Pulau Pinang.
Fadhlina diminta mengulas kehadiran dua kapal latihan minggu lalu yang telah menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan warganet.
Kunjungan btersebut diuruskan oleh Pejabat Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang.
Sementara itu, pihak sekolah terbabit turut telah membuat satu laporan polis berhubung isu tersebut.