fb fb fb fb fb

Henti sebar video nahas dua helikopter, hormati perasaan waris - Fahmi

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 23 April- Penyebaran video nahas membabitkan pertembungan dua buah helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu dihentikan segera, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Peringatan itu dikeluarkan kepada semua pihak termasuk pengamal media.

Beliau berkata, dalam situasi sekarang, orang ramai seharusnya menghormati waris dan keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas itu kerana video tersebut akan memberi kesan kepada mereka.

Sehubungan itu, Fahmi menegaskan, beliau akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengambil tindakan ke atas penyebaran video terbabit.

“Berlegar video menunjukkan momen-momen berlaku nahas tersebut, jangan disebarkan dan mari kita memberi rasa hormat kepada ahli keluarga, waris mangsa dan jangan kita sebarkan...untuk rakan media juga saya minta tidak menggunakan klip atau footage itu.

“Saya akan minta SKMM untuk meneliti dan sekiranya perlu untuk ambil apa-apa tindakan kerana ia seperti mana-mana nahas kemalangan lain, kita perlu beri ruang kepada ahli keluarga dan tidak menyebarkan video tersebut,” katanya kepada pemberita di Wisma Bernama hari ini.

Fahmi juga mengambil kesempatan menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga 10 mangsa yang terkorban dalam insiden tersebut.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jom Baca Bersama 10 Minit@Bernama: Pembacaan Melestarikan Perpaduan yang diadakan dengan kerjasama Kedutaan Sweden di Malaysia sempena Hari Buku dan Hari Hak Cipta Sedunia yang disambut setiap 23 April.

ARTIKEL BERKAITAN
Helikopter terhempas: Semua 10 mangsa disahkan terkorban - TLDM
Dua helikopter TLDM terhempas di Lumut, ada terkorban
Insiden helikopter terhempas, Anwar ucap takziah kepada keluarga mangsa
Tragedi helikopter: Agong zahir takziah, titah TLDM jalankan siasatan terperinci

SITI AISHAH MD ISA