fb fb fb fb fb

Henti sebar atau muat naik video insiden helikopter terhempas - MCMC

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 23 April- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai untuk tidak memuat naik atau menyebarkan video insiden dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, hari ini.

MCMC dalam kenyataannya memaklumkan bahawa ia bagi mengelakkan apa-apa kesalahan dilakukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

MCMC juga menasihatkan mana-mana pihak yang telah memuat naik video melibatkan insiden berkenaan untuk memadamkannya.

"Pengguna internet perlu lebih sensitif dan menghormati keluarga mangsa yang ketika ini sedang bersedih diatas kejadian yang menimpa ahli keluarga mereka."

"Sebagai badan berkanun yang mengawal selia penggunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian, MCMC turut memaklumkan kepada orang awam bahawa penghantaran komunikasi yang mempunyai ciri-ciri mengancam, menyakitkan hati atau menganggu orang lain adalah satu perbuatan yang dilarang dibawah AKM 1998," kata kenyataan itu.

MCMC turut menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat insiden berkenaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM