fb fb fb fb fb

Henti main isu 3R, fokus kepada perkara lebih produktif - Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/BERNAMA

KUALA LANGAT, 6 Mac- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan orang ramai agar berhenti memainkan isu sensitif berkaitan kaum, agama, dan institusi diraja (3R).

Tegasnya, isu tersebut hanya mencetuskan perpecahan dan tidak membawa manfaat kepada negara.

Menurut beliau, setiap laporan berkaitan 3R akan disiasat secara telus oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, yang ditubuhkan khusus bagi menangani isu tersebut.

Pasukan khas itu diberikan tempoh seminggu untuk melengkapkan siasatan sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi tindakan lanjut.

"Saya anjurkan supaya kita tumpukan kepada perkara-perkara yang lebih memberi manfaat. Kalau semua mengambil tanggungjawab mengurangkan mendorong diri daripada terlibat dalam perkara yang dalam segmen 3R ini.

Sebaliknya, tumpu seluruh daya berfikir kita, tenaga kita, fokus kita kepada benda yang lebih produktif," kata Saifuddin kepada pemberita, hari ini, di sini.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan naratif di media sosial yang sering membandingkan tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu 3R.

Tegasnya, tiada isu pilih kasih dalam siasatan kes 3R.

"Setiap laporan disiasat dalam tempoh ditetapkan, namun keputusan mendakwa terletak di bawah Peguam Negara," tambahnya.

Justeru, orang ramai dinasihat tidak membuat perbandingan subjektif kerana setiap kes berbeza mengikut bukti.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM