fb fb fb fb fb

Helikopter terhempas: Sultan Pahang titah masjid laksanakan solat jenazah ghaib

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

KUANTAN, 23 April- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid di negeri itu agar melaksanakan solat jenazah ghaib susulan tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak pagi tadi.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Datuk Yahya dalam kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan tragedi itu yang mengorbankan 10 anggota TLDM.

Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita berkenaan nahas itu.

"Nahas itu telah mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter HOM-AW139 dan Fennec.

"Tragedi tersebut berlaku semasa formasi penerbangan raptai lintas hormat di Pangkalan TLDM Lumut. Salam takziah buat waris dan ahli keluarga mereka yang terkorban," menurut kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI