fb fb fb fb fb

HDC gesa negara ASEAN bekerjasama bina ekosistem halal jana peluang ekonomi

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun

KUALA LUMPUR, 17 Jun- Halal Development Corporation Bhd (HDC) menggesa negara-negara ASEAN untuk bekerjasama dalam membina ekosistem halal yang kukuh bagi menjana peluang ekonomi.

Menerusi satu kenyataan, Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata sebagai penyelaras pusat ekosistem halal Malaysia, HDC berupaya membangunkan rangka kerja tersuai untuk memaksimumkan potensi perdagangan halal dalam pelbagai aspek.

Menurut beliau, 1.9 bilion umat Islam di seluruh dunia mewakili 24 peratus daripada populasi global yang memacu permintaan untuk produk dan perkhidmatan halal.

Unjuran pasaran halal global sebanyak AS$5 trilion menjelang 2030 adalah terlalu penting untuk diketepikan oleh ASEAN, dan terlalu luas untuk ditampung satu negara sahaja.

Beliau turut menambah, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 juga memberi tumpuan kepada pengukuhan penglibatan dalam ASEAN.

Ini akan membolehkan Malaysia berkongsi sumbernya dan secara kolektif membina komuniti yang mendapat manfaat daripada kepakaran masing-masing.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE