fb fb fb fb fb

Hayati program Ihya Ramadan: Semarakkan bulan mulia-PM

(Ismail Sabri ketika ucapan menyambut Ramadan disiarkan di RTM, pada malam Sabtu)

KUALA LUMPUR, 2 April- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap umat Islam dapat kembali merapatkan saf untuk menunaikan solat fardhu dan tarawih secara berjemaah serta menyemarakkan program ihya Ramadan tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Menurutnya, sepanjang negara diuji dengan pandemik COVID-19, umat Islam di Malaysia tidak dapat mengimarahkan masjid seperti menganjurkan majlis berbuka puasa dan moreh manakala solat fardu serta tarawih berjemaah terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada Keluarga Malaysia yang beragama Islam dan seluruh muslimin serta muslimat di mana sahaja berada.

"Alhamdulillah, kita kini dalam fasa peralihan ke endemik, yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali kepada kehidupan normal." katanya dalam Ucapan Khas sempena Ramadan 1443 Hijrah, pada malam Sabtu.

"Kita percaya ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Ramadan kali ini kerana tidak berpeluang menyambutnya pada Ramadan yang lepas.

"Walaupun kita diberikan kelonggaran, tetapi pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan. Jangan leka dan terus mengamalkan kawalan kendiri.

"Sepanjang 30 hari, kita semua menggandakan amal ibadat dengan berpuasa, menunaikan solat terawih, mempamerkan kesabaran dan istiqamah serta memupuk sifat muhasabah dan kemurahan hati," katanya dalam ucapan khas berkenaan.

(Kita kini dalam fasa peralihan ke endemik, yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali kepada
kehidupan normal." menurut PM dalam Ucapan Khas sempena Ramadan 1443 Hijrah/FOTO HIASAN)


Tambahnya, Ramadan bulan penuh barakah ini adalah peluang untuk menginsafi diri, dan mengumpul
pahala dengan memperbanyakkan amalan bersedekah.

"Semoga bulan Ramadan dapat memperkuatkan aspek rohani Keluarga Malaysia dan pada masa yang sama, amat penting bagi umat Islam memelihara hubungan bukan sahaja
dengan Maha Pencipta tetapi juga dengan sesama manusia," katanya.

Media Baharu