KUANTAN, 23 Mac - Umat Islam di negara ini diseru menunjukkan contoh yang baik dengan memperlihatkan keperibadian akhlak mulia terutama sepanjang bulan Ramadan ini.
Ini termasuk tidak melakukan sebarang perbuatan menghina orang lain, mencerca, memarahi serta menunjukkan sifat-sifat tidak bermoral.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ramadan merupakan bulan turunnya al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk memahami, menghayati dan mengamalkan kandungan kitab suci itu dalam kehidupan seharian.
"Jadi saya harap mudah-mudahan bulan Ramadan kesempatan bagi umat Islam Malaysia memberi penonjolan contoh yang baik bukan daripada segi bukan nak marah, hukum orang, hina, cerca orang.
"Perlu menunjukkan akhlak yang baik bahawa umat Islam ini tidak menipu, tidak merasuah tidak menyakau dan ini ciri-ciri yang baik," kata Anwar ketika berucap pada Majlis berbuka Puasa Madani bersama-sama kira-kira 3,000 hadirin di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, di sini.
Nasihat itu turut ditujukan kepada pemimpin dan para peniaga dengan mengamalkan sikap ikhlas, rajin dan amanah ketika bekerja sepanjang bulan Ramadan ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam majlis itu, Perdana Menteri bersama-sama pengunjung turut menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di masjid tersebut.