PUTRAJAYA, 23 Januari- Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 menjadi platform menghimpunkan organisasi media seluruh ASEAN dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama serantau.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, HAWANA akan mengundang pengamal media dari negara-negara anggota ASEAN untuk beberapa program sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
Ia bagi memberi fokus kepada pemahaman cabaran industri media dan hala tuju terbaik secara menyeluruh.
"Sempena Kepengerusian ASEAN, kita dapat kumpulkan rakan-rakan media dari seluruh ASEAN, selain media rasmi dan syarikat-syarikat media yang lain untuk datang ke Kuala Lumpur, supaya kita dapat mengetahui dan memahami cabaran yang dihadapi oleh rakan-rakan media dalam lingkungan ASEAN.
"Pada masa yang sama, perbincangan antara syarikat organisasi media ini, saya percaya akan dapat memberi hala tuju yang baik untuk industri secara keseluruhan", katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.