fb fb fb fb fb

HAWANA 2025 garis kepentingan etika dalam era AI

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Kepentingan keseimbangan antara teknologi dan tanggungjawab etika dalam dunia kewartawanan menjadi fokus utama Forum Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 hari ini, seiring dengan tema tahun ini, “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata dalam era digital yang dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI), organisasi media perlu memastikan kerelevanan sebagai asas utama untuk terus diyakini masyarakat.

“Kita boleh ada peralatan paling canggih dan wartawan paling hebat, tetapi jika kita tidak dilihat relevan kepada mereka yang menerima maklumat, kewujudan kita tidak akan dirasai. RTM, contohnya, perlu menjadikan dirinya sangat relevan kepada pelbagai lapisan penonton,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Tambah beliau, kandungan media perlu sentiasa mencerminkan keperluan dan suara rakyat, agar media kekal dekat dengan masyarakat dan tidak terputus daripada realiti semasa.

Sementara itu, Ketua Unit Bahasa Malaysia & Video FMT Sdn Bhd, Zahrul Alam Yahya Shahir berkata kehadiran media sosial dan teknologi telah mempengaruhi cara berita dihasilkan dan diterima.

Justeru kandungan berita perlu dibina secara lebih berstruktur dan disokong analitik agar mampu dimanfaatkan oleh AI secara efektif.

“Langkah pertama datang daripada kita. Kita perlu cipta kandungan yang lebih baik dan bersifat analitik supaya AI boleh proses dan keluarkan semula maklumat yang kita sediakan dengan tepat apabila diperlukan,” katanya.

Forum HAWANA 2025 kali ini turut membincangkan topik “Malaysian Media Council: Regulator or Media Protector?”, serta sesi teknologi bertajuk “AI & Media: Tool, Threat or Opportunity?”.

Forum tersebut disertai lebih 250 peserta, terdiri daripada wartawan, pengamal media, ahli akademik dan pelajar dari seluruh negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN