fb fb fb fb fb

Hati-hati penipuan pelaburan 'deepfake', elak pautan jenayah siber

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Julai- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang ramai berhubung taktik penipuan pelaburan 'deepfake' yang dicipta melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menyamar sebagai individu dan syarikat terkemuka.

Video yang disebarkan melalui aplikasi pemesejan itu dimanipulasi menyerupai suara tokoh awam termasuk pergerakan bibir dan menjadikan kandungan itu kelihatan tulen.

SC dalam satu kenyataan berkata, video 'deepfake' berkenaan mempromosikan pelaburan yang kononnya ditawarkan oleh syarikat yang bereputasi.

"Hantaran tersebut juga mempunyai butang atau pautan 'Ketahui Lebih Lanjut', yang membawa pihak yang berminat ke halaman pendaftaran bagi mengumpulkan maklumat peribadi mereka.

"Orang ramai yang tidak peka dan terus mengakses pautan itu akan diminta memuat turun aplikasi, dimana ia mendedahkan mereka kepada risiko jenayah siber," katanya.

Dalam pada itu SC dengan bantuan Meta telah menurunkan video sedemikian untuk mengekang akses kepada pihak awam yang mungkin menjadi mangsa penipuan.

SC juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap aktiviti penipuan pelaburan tersebut.

Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam menilai tawaran pelaburan termasuk memastikan mereka tidak memindahkan atau mendepositkan wang ke dalam akaun yang mencurigakan. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI