PUTRAJAYA, 7 Julai- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat agar sentiasa berhati-hati dalam menuntut ilmu agama di media sosial dan memastikan kandungan yang diperoleh adalah sahih dan berwibawa.
Titah baginda, masyarakat hari ini berdepan dengan cabaran kebanjiran maklumat tanpa sempadan melalui media sosial yang sukar dikawal.
"Pada hari ini kita berdepan cabaran kebanjiran maklumat tanpa sempadan melalui media sosial yang sukar dikawal. Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyebaran berkaitan agama Islam yang mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran menyimpang daripada prinsip Islam sebenar.
"Jika orang dahulu belajar agama dengan membaca kitab dan mendengar kuliah di masjid, namun orang sekarang belajar agama secara 'online' daripada 'Ustazah Facebook' dan 'Ustaz TikTok'.
"(Justeru) setiap umat Islam perlu bijak menilai mana yang betul dan salah. Penyebaran maklumat agama tidak tepat melalui media sosial boleh membawa kepada kekeliruan, perpecahan dan amalan agama yang menyimpang," titah Sultan Ibrahim pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di sini.
Dalam masa sama, baginda mahu rakyat agar tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk berbalah dan membuka aib, serta hindari sikap keterlaluan atau 'ekstrem' terutama dalam isu yang berkaitan dengan kaum dan agama.
"Jangan buka aib orang lain atau tularkan perkara yang memalukan kerana ini semua akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan," titah baginda.
Sultan Ibrahim turut menitahkan agar rakyat sentiasa menjaga keharmonian negara kerana perpaduan kaum serta agama yang kukuh merupakan asas penting yang harus dipelihara.
"Kita harus mengelak sebarang bentuk provokasi, fitnah dan hasad dengki yang boleh merosakkan ikatan yang telah lama terjalin. Kita juga perlu sentiasa menjaga keharmonian ini dengan sikap saling menghormati dan bertolak ansur," titah baginda.
Turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Kira-kira 6,000 tetamu hadir pada majlis berkenaan yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan orang awam.