Hasil penyelidikan universiti tempatan diguna dan dikomersial

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Dakwaan bahawa dapatan hasil penyelidikan universiti tempatan tidak digunakan kepada pembangunan industri adalah tidak tepat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Banyak hasil penyelidikan universiti tempatan telah diguna pakai dan dikomersialkan.
  • Kerjasama strategik antara universiti penyelidikan dan industri akan diperkasa untuk selaraskan hasil dengan keperluan industri sebenar.
  • Kementerian sediakan geran, termasuk padanan, untuk galakkan industri guna kepakaran universiti serta tumpu automasi, AI pertanian, dan pengkomersialan teknologi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim menjelaskan, banyak hasil penyelidikan universiti tempatan telah diguna pakai dan dikomersialkan, meskipun sebahagiannya melibatkan bidang atau ‘niche’ yang tidak khusus.

Jelas beliau, kerjasama strategik antara universiti penyelidikan dan industri akan diperkasa bagi memastikan hasil penyelidikan lebih selari dengan keperluan sebenar industri.

“Pelbagai geran penyelidikan disediakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi termasuk geran padanan bagi menggalakkan industri memanfaatkan kepakaran universiti.

“Antara fokusnya ialah meningkatkan proses pembuatan dan kualiti produk melalui automasi mesin, teknologi pertanian pintar berasaskan AI dan digital serta penggunaan bahan yang dihasilkan daripada teknologi baharu.

“Keberkesanan penyelidikan universiti juga dapat dilihat melalui peningkatan pengkomersialan produk teknologi dan pengetahuan yang dilesenkan bagi tempoh 2020 hingga 2024,” katanya demikian ketika menjawab soalan dikemukan Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff di Parlimen.

Senator Dr. Wan Martina meminta kemeterian menyatakan mengapa output penyelidikan universiti tempatan tidak digunakan kepada pembangunan industri tempatan.

Kementerian komited memastikan inovasi tempatan bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor industri, malah dapat dimanfaatkan secara lebih meluas oleh masyarakat dan ekonomi negara secara keseluruhan.