Harum Manis kekal tarikan utama Perlis AgroFest 2026

Foto hiasan

KANGAR, 31 Januari- Perlis meletakkan produk ikonik negeri, mangga Harum Manis sebagai aset strategik bagi menembusi pasaran pelancongan dan pelaburan antarabangsa menerusi penganjuran Perlis AgroFest 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harum Manis dipromosi sebagai aset strategik Perlis untuk menarik pelancongan dan pelaburan antarabangsa melalui Perlis AgroFest 2026.
  • Program Road to AgroFest diuji untuk kesesuaian lokasi dan menarik minat pengunjung serta pemain industri sebelum acara utama.
  • Perlis AgroFest sasar 300,000 pengunjung dan dijangka memacu ekonomi luar bandar serta mengangkat Harum Manis sebagai produk agro premium.

Inisiatif itu diterjemahkan melalui penganjuran program Road to AgroFest sebagai langkah awal bagi menguji kesesuaian lokasi, selain menarik perhatian awal pengunjung serta pemain industri.

Pemilihan lokasi dibuat berdasarkan potensinya sebagai destinasi pelancongan yang lengkap, sekali gus membuka ruang kepada penganjuran acara berskala besar pada masa hadapan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail berkata keunikan Harum Manis yang hanya terdapat di negeri itu menjadi kekuatan utama sektor pertanian Perlis.

“Bukan menikmati produk hasil pertanian biasa sahaja tetapi Harum Manis. Itu yang kita buat pada April nanti.

“Tahun lepas juga kita buat sempena musim Harum Manis kerana keunikan Perlis ialah Harum Manis yang tidak ada di negeri lain dalam aspek pertanian,” katanya kepada media ketika ditemui pada majlis perasmian Road to AgroFest 2026 di Sungai Batu Pahat di sini hari ini.

Perlis AgroFest 2026 dijadual berlangsung pada April dengan sasaran kehadiran 300,000 pengunjung dari dalam dan luar negara termasuk Thailand, Indonesia dan China.

Program itu dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi luar bandar, memperkukuh imej negara di peringkat antarabangsa serta mengangkat Harum Manis sebagai produk agro premium negara.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan