Hari pertama persekolahan meriah Di SK Dato’ Onn Jaafar

Mohd Azwan Kasim, 39, (tengah) mendukung anak kembarnya pada hari pertama sesi 2026/Foto BERNAMA

KLUANG, 12 Januari – Suasana hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Dato’ Onn Jaafar, Machap, Simpang Renggam di sini berlangsung meriah dengan kehadiran para guru serta maskot yang menyambut kedatangan murid-murid seawal pukul 6.30 pagi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suasana hari pertama di SK Dato' Onn Jaafar meriah dengan guru dan maskot menyambut murid seawal 6.30 pagi.
  • Sekolah menganugerahkan 40 murid dan tiga guru hadir paling awal untuk memeriahkan majlis.
  • Bantuan Awal Persekolahan RM150 diberikan kepada semua murid membantu meringankan beban ibu bapa.
  • Penekanan kepada suasana pembelajaran selamat, menyeronokkan dan inklusif serta peranan kaunseling terhadap isu keselamatan.

Bagi memeriahkan lagi suasana, pihak sekolah turut menyampaikan penganugerahan kepada 40 murid dan tiga orang guru yang hadir paling awal ke sekolah.

Murid-murid Tahun Satu yang baharu melangkah ke alam persekolahan kelihatan teruja untuk memulakan sesi pembelajaran, membina persahabatan baharu serta mengejar cita-cita masing-masing.

Sementara itu, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 yang disalurkan kepada semua murid di seluruh negara dilihat mampu meringankan beban ibu bapa, khususnya dalam menampung yuran sekolah dan keperluan persekolahan anak-anak.

Tinjauan di sekitar Simpang Renggam mendapati rata-rata ibu bapa menganggap bantuan tersebut amat bertepatan dengan situasi kenaikan harga barangan ketika ini.

Seorang suri rumah, Siti Fadzilah Mohamad Noor berkata bantuan itu sangat membantu dalam mengurangkan perbelanjaan bulanan, terutama bagi pembelian buku, pembayaran yuran serta pakaian sekolah.

“Alhamdulillah, bantuan ini sangat membantu, lebih-lebih lagi dengan kos pakaian sekolah yang semakin meningkat. Saya ada dua orang anak dan bantuan ini memang meringankan beban,” katanya.

Mohd Faizal Hashim, seorang pereka grafik bebas pula berkata bantuan berkenaan amat bermakna khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

“Sekurang-kurangnya bantuan ini boleh menampung keperluan yang kurang. Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu kami,” katanya.

Seorang lagi ibu bapa, Mohd Ameer Ali yang bekerja sebagai jurutera berkata bantuan tersebut sedikit sebanyak membantu persiapan perbelanjaan harian anak-anak.

“Insha-Allah, bantuan ini dapat membantu menampung keperluan persekolahan anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata suasana pembelajaran yang menyeronokkan, selamat dan inklusif perlu menjadi keutamaan semua pihak bagi menjadikan sekolah sebagai rumah kedua kepada murid-murid.

Menurutnya, aspek keselamatan termasuk isu buli perlu diberi perhatian serius dengan menekankan peranan rakan sebaya, guru serta kaunseling.

“Saya lebih suka melihat murid saling menjaga antara satu sama lain supaya mereka tidak berasa terancam atau tidak selesa. Kaunseling juga perlu diberikan kepada murid dan guru bagi memastikan keselamatan serta keseronokan belajar dapat diwujudkan di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Hari Pertama Pembukaan Sekolah di SK Dato’ Onn Jaafar, Machap, Simpang Renggam.

Pada hari ini, seramai 615,120 pelajar memulakan sesi persekolahan di Johor, termasuk 23,740 murid prasekolah.

Daripada jumlah itu, seramai 55,406 merupakan murid Tahun Satu manakala 47,237 pelajar Tingkatan Satu.

Kerajaan turut memperuntukkan lebih RM87 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan di Johor, dengan sebanyak RM127,000 diperuntukkan khusus kepada SK Dato’ Onn Jaafar.