KUALA LUMPUR, 11 Mac- Menteri Indo-Pasifik United Kingdom (UK) Catherine West menzahirkan kekagumannya terhadap Malaysia dan kekuatannya sebagai ahli Komanwel ketika beliau menyertai Persatuan Komanwel Diraja (RCS) Malaysia dalam sambutan Hari Komanwel di sini pada Isnin malam.
Dalam ucapannya pada majlis yang diadakan di Commonwealth House, beliau memuji keindahan Malaysia dan layanan mesra yang diterimanya, selain menekankan perbincangan bermanfaat dengan wakil kerajaan mengenai objektif bersama, termasuk pertumbuhan ekonomi, keselamatan dan perubahan iklim.
West, yang dalam lawatan pertamanya ke negara ini, berkata beliau telah bertemu dengan pemimpin wanita yang menginspirasi bagi meraikan Hari Wanita Antarabangsa dan membincangkan cara untuk mengatasi halangan bersama.
Beliau turut menekankan daya tahan Komanwel dan peranan pentingnya dalam memupuk perpaduan serta kerjasama dalam kalangan negara anggota bagi menangani cabaran global seperti pertumbuhan ekonomi, perubahan iklim, ketidaksamaan, pengangguran belia dan demokrasi.
“Jadi, ketika kita memperingati Hari Komanwel bersama-sama, tiada tugas yang lebih penting daripada memulihkan keharmonian dunia yang terganggu demi masa depan generasi muda kita yang terancam.
“Saya hanya dapat berharap agar Komanwel terus menjalankan peranan penting dalam memulihkan keharmonian itu,” katanya.
West turut memuji Setiausaha Agung Komanwel yang baharu, Shirley Botchwey dari Ghana atas komitmennya untuk memupuk daya tahan dalam kalangan negara anggota.
Pada majlis itu, West membacakan perutusan rasmi Hari Komanwel oleh Raja Charles III yang menekankan peranan Komanwel sebagai sebuah forum dipercayai bagi negara-negara pelbagai latar belakang untuk bersatu.
Beliau turut menyatakan penghormatan baginda kepada lelaki dan wanita Komanwel yang berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua serta seruan untuk meneruskan kerjasama dalam menangani isu global seperti keamanan, hak asasi manusia dan pemulihan alam sekitar.
Sambutan bertemakan "Together We Thrive" itu dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani yang mewakili Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Majlis itu turut menghimpunkan pesuruhjaya tinggi, pemimpin komuniti dari negara-negara Komanwel serta tokoh Malaysia terkemuka bagi merenung kepentingan kerjasama dan sokongan bersama dalam menangani cabaran global.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon dan Pengerusi RCS Malaysia, Bernice Narayanan.- BERNAMA