KUANTAN, 24 Mei- Rakyat Pahang diharap untuk hadir dan memeriahkan lagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2024 di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang yang berlangsung sehingga 28 Mei 2024.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr. Zulkifle Ali Al Hafiz berkata selama dua hari berlangsungnya MTHQK, seramai hampir 3,000 penonton telah hadir dan memenuhkan majlis tersebut.
"Alhamdullah, jadi saya ucapkan terima kasih kepada warga yang dapat hadir bersama-sama memeriahkan MTHQK pada malam ini."
"Saya mengharapkan sempena musim cuti sekolah ini, saya menyeru ibu bapa mengalakkan anak-anak mereka untuk hadir, memakmurkan majlis tilawah dan hafazan quran ini," kata Datuk Dr. Zulkifle kepada pemberita.
Tambahnya, penonton yang hadir bukan sahaja boleh menyaksikan persembahan para peserta, malah dapat menyaksikan pelbagai persembahan pentas dan melawati gerai-gerai menarik.