fb fb fb fb fb

Hari Kebangsaan 2025: Dron dilarang di udara Putrajaya

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 23 Ogos -Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa, pada persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2025 bermula Isnin depan hingga 31 Ogos, di Dataran Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed dalam kenyataan berkata, Putrajaya adalah kawasan larangan menerbangkan dron.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi arahan selaras dengan peruntukan Peraturan 143 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (MCAR) 2016 dan Seksyen 206 (3) MCAR) 2016," katanya.

Beliau turut memaklumkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan melaksanakan tembakan meriam sebagai sebahagian acara sempena sambutan berkenaan pada hari raptai penuh dah hari sambutan.

Raptai penuh akan diadakan pada 29 Ogos pada pukul 8.00 pagi di Lot 3C1, Presint 3 (tapak bazar Ramadan Putrajaya) dengan dua das tembakan dilepaskan. Sementara itu, pada 31 Ogos hari sambutan utama sebanyak 14 das tembakan meriam akan dilepaskan di lokasi sama pada 8 00 pagi.

"Penduduk Putrajaya dinasihatkan supaya tidak panik atau cemas apabila terdengar tembakan meriam yang menjadi antara pengisian dalam majlis sambutan berkenaan.

"Manakala bagi yang akan hadir menyaksikan sambutan ini, digalakkan untuk merancang perjalanaan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan luar jangka berlaku," katanya lagi.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui talian Hotline Polis Putrajaya, 03-8886 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

TETITIA YUSOFF