KUALA LUMPUR, 21 Mac- Hari Hutan Antarabangsa disambut pada 21 Mac setiap tahun, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan dan menggalakkan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan sumber hutan demi kesejahteraan masyarakat dan kestabilan ekosistem alam sekitar.
Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, tema Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini adalah "Hutan dan Makanan" (Forests and Food), yang bertujuan untuk meraikan peranan hutan sebagai sumber makanan semula jadi kepada masyarakat, selain membekalkan nutrisi serta kepentingannya dalam memastikan keterjaminan makanan.
Pengurusan hutan secara berkekalan atau Sustainable Forest Management (SFM) penting dalam memastikan kelestarian sumber makanan semula jadi bagi menyokong keterjaminan makanan negara, selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
"Hutan menyediakan pelbagai sumber makanan berkhasiat seperti ulam-ulaman, sayur-sayuran, buah-buahan, serta rempah ratus yang menjadi sebahagian daripada amalan pemakanan masyarakat sejak sekian lama.
"Selain itu, tumbuhan herba seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Kaduk, dan Hempedu Bumi bukan sahaja menjadi makanan kesihatan, tetapi juga amat signifikan dalam perubatan tradisional.
"Justeru, tema tahun ini amat bertepatan dalam mengetengahkan kepentingan SFM, seiring dengan matlamat yang digariskan dalam Dasar Perhutanan Malaysia, bagi memastikan sumber makanan semula jadi kekal terpelihara," menurut kenyataan itu.
Pengurusan hutan yang berkekalan akan memastikan sumber makanan hutan kekal terpelihara untuk generasi kini dan akan datang, selaras dengan prinsip pemuliharaan, perlindungan, dan penggunaan sumber secara berkekalan.
Usaha itu juga membantu menjaga kesejahteraan masyarakat peribumi dan masyarakat tempatan yang bergantung kepada hutan sebagai sumber makanan dan ekonomi.
Namun, degradasi tanah akibat perubahan guna tanah yang tidak bertanggungjawab serta kesan perubahan iklim telah mengakibatkan kemerosotan kualiti tanah.
Sekali gus menjejaskan keupayaan ekosistem hutan dalam menyokong biodiversiti dan pengeluaran sumber makanan semula jadi.
"Dalam konteks ini, pemerkasaan dasar pertanian dan agrikomoditi yang berkekalan, seperti yang digariskan dalam Sasaran 6, Dasar Kebangsaan Kepelbagaian Biologi (DKBK) 2022-2030, amat penting untuk memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan biodiversiti.
"Pendekatan ini bukan sahaja mengawal tekanan terhadap tanah dan hutan, tetapi juga memastikan pengurusan sumber asli yang berkekalan, memperkukuh daya tahan ekosistem dalam menyokong kepelbagaian biologi serta menjamin kelangsungan pengeluaran sumber makanan.
"Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan seperti Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok; Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot; Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara; Central Forest Spine dan Heart of Borneo.
"Inisiatif-inisiatif ini akan terus diberi tumpuan oleh Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri bagi memelihara dan memulihara khazanah hutan negara yang tidak ternilai," menurut kenyataan itu.
Aspek perhutanan sosial turut diberi keutamaan melalui kerjasama antara jabatan dan agensi serta komuniti dalam setiap inisiatif pemuliharaan.
Salah satu program yang berjaya dilaksanakan ialah Program Buy Back Guarantee oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, yang bertujuan menambah sumber pendapatan masyarakat orang asli di kawasan Tasik Chini, Cameron Highlands, dan Janda Baik.
Program ini memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk membekalkan anak pokok seperti merbau, keruing kertas, petai, meranti tembaga, dan cengal kepada jabatan perhutanan untuk digunakan dalam usaha aktiviti restorasi dan penghijauan semula kawasan hutan dan pesisir pantai.
Inisiatif sebegini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan keharmonian antara pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat secara seimbang dan berterusan.
Hutan yang kaya dengan kepelbagaian biologi bukan sahaja memberikan manfaat kepada alam sekitar, malah menjadi warisan berharga untuk generasi akan datang.
Justeru, komitmen berterusan dalam memelihara dan memulihara aset ini amat penting agar kelestariannya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia untuk selamanya.