
KUALA LUMPUR, 1 April – Krisis tenaga global yang masih berlarutan telah mendorong lonjakan harga minyak mentah Brent melebihi 40 peratus, sehingga melepasi paras AS$100 setong.
- MOF: Harga minyak diproses kini sekitar AS$150 (petrol) dan AS$250 (diesel), memberi tekanan kuat kepada harga jualan runcit.
- Kerajaan tidak memindahkan sepenuhnya kenaikan harga kepada rakyat; subsidi petrol dan diesel ditanggung sebahagian untuk tiga minggu berturut-turut.
- Di bawah APM, harga runcit tanpa subsidi diesel diunjur RM6.02 seliter (2-8 April 2026); RON97 RM4.95; RON95 kekal RM3.87.
- Langkah interim: had BUDI95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan; had pengisian diesel di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan; bantuan BUDI Diesel tambahan RM100, jumlah RM300.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), tekanan harga itu turut mendorong kenaikan ketara bagi harga minyak yang diproses dengan petrol dan diesel masing-masing kini didagangkan pada harga AS$150 setong dan AS$250 setong.
Keadaan itu sekali gus memberi tekanan kepada harga jualan runcit bagi kedua-dua produk berkenaan.
“Bagaimanapun, kerajaan komited untuk memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak global.
“Sejak krisis Asia Barat meletus, harga runcit di pam tidak diapungkan sepenuhnya, malah kerajaan masih menampung sebahagian kos subsidi petrol dan diesel bagi tempoh 3 minggu berturut-turut,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOF, usaha mengekalkan harga petroleum bersubsidi kepada rakyat serta sektor tertentu akan terus diperkukuh bagi membendung kenaikan harga barangan dan melindungi kesejahteraan rakyat.
Jelas kementerian itu, selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit tanpa subsidi bagi diesel dijangka naik kepada RM6.02 seliter berbanding RM5.52 seliterbagi tempoh 2 April hingga 8 April 2026.
“Harga RON97 tanpa subsidi pula diunjur turun kepada RM4.95 seliter daripada RM5.15 seliter, minggu sebelumnya, manakala RON95 pula kekal pada RM3.87 seliter.
“Pada masa sama, kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu termasuk bagi RON95 (BUDI95) RM1.99 seliter,” jelas MOF.
Harga diesel bagi pengguna di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan turut kekal pada RM2.15 seliter.
Sebagai langkah pelarasan sementara, had kelayakan BUDI95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan.
Selain itu, Kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan.
“Sebagai langkah interim susulan kenaikan harga diesel, bantuan tunai tambahan BUDI Diesel dikekalkan sebanyak RM100 bagi April, menjadikan bantuan keseluruhan kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi berjumlah RM300 sebulan.
“Di samping inisiatif sedia ada, langkah-langkah jangka sederhana dan panjang juga sedang dipertimbangkan bagi memastikan mekanisme subsidi kekal mampan, telus dan memanfaatkan rakyat,” katanya.