fb fb fb fb fb

Harga makanan di bazar Ramadan berpatutan - pengunjung

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU, 2 Mac- Pengunjung menyifatkan harga makanan yang dijual di Bazar Ramadan khususnya di Terengganu masih pada kadar berpatutan manakala peniaga masih mengenakan harga makanan yang munasabah.

Tinjauan RTM hari pertama di Bazar Ramadan di Batu Burok di sini mendapati orang ramai mula mengunjungi bazar seawal pukul 3.00 petang untuk mengelakkan kesesakan pada sebelah petang.  

Soerang peniaga yang ditemui RTM Ahmad Sabri Mohamad berkata, meskipun berdepan kenaikan harga barang basah dia masih mengekalkan harga makanan sama seperti tahun lalu.

"Harga makanan yang dijual masih pada harga sama seperti tahun lepas, meskipun harga ikan meningkat. Ikan siakap contohnya menunjukkan banyak peningkatan sebelum ini RM14.00, sekarang RM23.00, begitu juga dengan kerang, sekarang RM16.00 dulu baru RM8.00," katanya.

Bagi pengunjung Raihanah Mat Nor yang ditemui pula berpendapat harga makanan masih berada pada kadar berpatutan.

"Setakat hari pertama ini saya mendapati peniaga menjual makanan pada harga yang berpatutan, munasabah. Saya harap ia berbaloi dengan jualan yang dibeli.

"Kita sebagai pembeli juga boleh memilih untuk memilih harga makanan, sebab banyak pilihan. Jadi perkara ini menang-menang untuk pembeli dan peniaga," katanya.

Bagi Nurul Shuhada Ismail, dia mahu semua peniaga menjaga tahap kebersihan seperti yang telah dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

"Harga jualan pada saya masih berbaloi, tidak terlalu murah dan tidak terlalu mahal. Masih pada kadar berpatutan. Cuma peniga perlu menitikberatkan soal kebersihan.

"Jangan pula ada peniaga yang masak terlalu awal untuk dijadikan sebagai jualan. Ada juga yang jual makanan tidak habis pada keesokan harinya, ini boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung," katanya.

0203 TINJAUAN BAZARBazar Ramadan di Kuala Lumpur

Di Kuala Lumpur orang ramai dilihat memilih berkunjung ke Bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka kira-kira pukul 3.00 petang.

Tidak terkecuali mereka yang memilih untuk membeli pelbagai hidangan namun ada juga yang hanya mencari pencuci mulut sahaja.

Meskipun terdapat sedikit peningkatan harga pada makanan yang dijual di sekitar ibu negara namun kebanyakan pembeli berpendapat harga yang ditetapkan peniaga pada kadar berpatutan dan munasabah.

Bagi Hazeq Hanafi, dia yang sering ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa mendapati berlaku kenaikan harga namun ia masih berpatutan.

"Memang setiap kali Ramadan pertama saya akan datang untuk membeli juadah berbuka puasa, sama ada makanan utama, kuih-muih dan air.

"Harga... memang berlaku peningkatan tetapi saya masih rasa ia pada kadar berpatutan. Mungkin ia disebabkan kenaikan harga barang, tetapi ia tidak terlalu mahal," katanya.

Menurut Rosli Yusuf pula, dia berpendapat kadar kenaikan pada harga makanan disebabkan kos barang yang meningkat.

"Biasa kalau datang ke bazar Ramadan, saya akan cari kuih-muih. Memang kita nampak berlaku peningkatan harga, tetapi ia mungkin didorong faktor kos yang meningkat," katanya.

Sementara itu bagi peniaga di ibu negara Syahrul Iqwan Syahri menyifatkan suasana pada awal Ramadan ini masih sama seperti tahun sebelum ini.

"Hari ini masa awal-awal tadi nampak macam lengang sikit, tetapi orang semakin ramai. Kalau macam tahun lepas, orang ramai sudah mula datang pukul 2.00 petang.

"Hari ini mereka (pengunjung) datang lewat sikit. Mungkin juga disebabkan hari ini hujung minggu. Jadi ramai yang pulang ke kampung halaman untuk berbuka puasa dengan keluarga masing-masing," katanya.

0203 EXCO BAZARBazar Ramadhan Bandar Baru Uda, Johor Bahru

Di Johor, sempena hari pertama menyambut Ramadan, masyarakat di negeri itu memanfaatkan waktu bercuti untuk pergi ke bazar.

Tinjauan RTM di Bazar Ramadhan Bandar Baru Uda, Johor Bahru mendapati pengunjung dan peniaga memberi maklum balas positif berhubung keadaan trafik dan harga makanan.

Pengunjung Mohamad Hafizul Ramli berkata keadaan trafik di bazar Ramadan terkawal dan mudah untuk mencari parkir.

"Berkenaan soal harga, masih seperti biasa sama seperti tahun sebelum ini. Peniaga pun masih mengamalkan kebersihan seperti yang disarankan," katanya.

Bagi peniaga Shazwina Saadon berkata, bazar Ramadan bukan sekadar menjadi tumpuan masyarakat Islam bahkan ia meliputi pelbagai bangsa.

"Seperti kebiasaannya ramai pengunjung, bukan sahaja daripada mereka yang beragama Islam bahkan meliputi pelbagai agama dan bangsa.

"Ada juga pengunjung dari Singapura yang datang ke sini untuk membeli pelbagai jenis juadah berbuka," katanya.

0203 BAZAR PPBazar Ramadan di Lebuh Queen, George Town

Di Pulau Pinang pula, pengunjung turut meluahkan rasa sama berhubung harga jualan makanan pada harga berpatutan.

Tinjauan RTM di bazar Ramadan di Lebuh Queen, George Town mendapati ramai peniaga yang menjual jenis pelbagai juadah berbuka puasa dan ikonik di negeri itu.

Lokasi berkenaan juga dilihat sebagai kawasan yang strategik kerana berdekatan dengan Little India sekali gus menjadi tarikan kepada pengunjung yang datang ke sana.

Pengunjung Rais Ahmad Mohamad Hussin berkata semua peniaga mengamalkan kebersihan seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Peniaga kelihatan memakai apron dan menjaga kebersihan dan semua makanan yang dijual ditutup. Kita sebagai pengunjung pun senang hati untuk membeli makanan untuk berbuka," katanya.

"Berkenaan harga makanan, ia masih dijual pada kadar berpatutan. Macam yang kita nampak pelbagai juadah berbuka dijual dan pengunjung mempunyai banyak pilihan sebelum membeli," katanya.

Bagi penganut bukan Islam Tharman Anandan menyifatkan bazar Ramadan sebagai satu lokasi untuk mencari pelbagai menu yang jarang didapati pada hari biasa.

"Saya sering ke bazar Ramadan untuk mencari makanan. Kali ini ia lebih teratur berbanding sebelum ini. Semuanya nampak teratur, harga makanan juga pada kasar berpatutan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI