fb fb fb fb fb

Harga lantai belian padi, jaga kebajikan pesawah

Datuk Badrul Hisham Mohd

BESUT, 17 November- Pelaksanaan harga lantai belian padi pada kadar RM1,300 per tan metrik di seluruh negara sejak Februari lalu dilihat mampu menjadi satu mekanisme untuk menjaga kebajikan pesawah-pesawah dalam urus niaga mereka khususnya melibatkan pesawah dari luar bandar.

Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Badrul Hisham Mohd berkata kerajaan tidak mengawal sebarang kenaikan harga siling belian padi tempatan.

Justeru kementerian sedang membincangkan cadangan untuk menaikkan harga belian padi kepada RM1,500 bagi satu tan.

Namun perkara tersebut perlu diteliti kerana melibatkan pelbagai pihak termasuk Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara seperti mana telah diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang Dewan Rakyat pada 11 November lalu.

"Jadi pengilang boleh membeli padi berdasarkan keperluan mereka dan kemampuan mereka untuk menawarkan kepada pesawah selagi ia bukan bawah RM1,300.

"Tiada ada masalah dan tidak salah di sudut akta sebab itu kita lihat kilang di Kedah, Perak dan Terengganu berbeza-beza harga tawaran berdasarkan kepada bisnes masing-masing. Perkara itu kita serah kepada industri bergantung permintaan dan penawaran," katanya.

Beliau ditemui RTM selepas merasmikan Sambutan tahunan Kawasan Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (IADA KETARA) di Kampung Lapan Kotak Besut di sini.

Lebih 300 penduduk setempat hadir memeriahkan sambutan Hari Ladang yang dimeriahkan dengan sukan rakyat dan jualan produk pertanian.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI