KOTA BAHRU, 29 Julai - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin gabungan Barisan
Nasional (BN) Pakatan Harapan (PH) mampu menawan Terengganu dan Kedah pada Pilihan Raya Umum DUN ke-15 (PRU DUN ke-15) kali ini.
Ahmad Zahid berkata, keyakinan itu berdasarkan keadaan pengundi di kedua-dua negeri itu yang tidak terlalu taksub kepada parti dan sentiasa membuat pusingan balik atau 'swing state'.
Bagaimanapun, beliau berkata hanya Kelantan sahaja bukan negeri yang sering bertukar pemimpin kerana beliau mendakwa pengundi negeri itu sangat taksub kepada parti politik.
"Pemimpin jangan beri harapan kepada pengundi dan menjanjikan syurga kerana aspek duniawi dan ukhrawi perlu di ambil kira.
"Namun, untuk 'swing back' bagi negeri Kedah dan Terengganu, ia memerlukan syarat termasuk semua jentera bekerja kuat di semua peringkat.
"Pada masa sama, jentera perlu menyantuni pengundi atas pagar dan tidak bermain parti supaya mereka tidak termakan dengan janji kosong yang dibawa Perikatan Nasional (PN)," katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Kawasan DUN di Parlimen Kota Bharu di sini, hari ini.
Selain itu Ahmad Zahid berkata BN-PH juga yakin dapat mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut membidas kenyataan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa beliau cuba menormalisasikan budaya rasuah dalam kalangan belia.
Tegasnya, golongan belia di negara ini memerlukan peruntukan yang cukup untuk mereka menjalankan aktiviti sama ada di peringkat persatuan, daerah, ataupun negeri, lebih-lebih lagi golongan muda yang menyertai Majlis Belia.