KULIM, 29 Oktober- Hanya 50 peratus majikan di seluruh Semenanjung mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446).
Justeru, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Mohd Asri Abd Wahab berkata majikan selebihnya perlu meningkatkan kebajikan pekerja meliputi aspek kesihatan, kebersihan dan keselamatan tempat tinggal pekerja mereka.
"Saya harap majikan dapat tampil bertemu dengan JTKSM bagi mendapatkan nasihat untuk memastikan penginapan yang mereka sediakan kepada pekerja menepati syarat termaktub di bawah akta,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Op Walit di beberapa buah premis di Taman Tiram di sini hari ini.
Dalam operasi itu, sebanyak lapan blok rumah kedai yang dijadikan asrama untuk pekerja tempatan dan warga asing membabitkan pelbagai sektor pekerjaan telah diperiksa.
"Operasi hari ini tertumpu kepada isu penyediaan penginapan dan kita juga memeriksa sama ada majikan yang menempatkan pekerja mereka di deretan rumah kedai ini telah memperoleh Sijil Perakuan Penginapan atau sekurang-kurangnya telah memohon perakuan tersebut.
"Hasil pemeriksaan, walaupun majikan menyediakan penginapan tetapi ia tidak mempunyai Sijil Perakuan Penginapan daripada JTKSM, malah tiada rekod permohonan perakuan penginapan seperti yang tertakluk dalam Akta 446," katanya.
Sehubungan itu, sebanyak 23 kertas siasatan dikeluarkan hari ini melibatkan beberapa kesalahan di bawah Akta 446, antaranya ketiadaan Sijil Perakuan Penginapan, tidak menyediakan katil, tilam, almari berkunci dan tandas seperti digariskan di bawah akta berkenaan.
Kesemua kesalahan tersebut boleh dikenakan denda hingga RM50,000 bagi setiap kesalahan.