KUALA LUMPUR, 22 November- Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendapati hanya 25.6% atau 386 daripada 1,505 sekolah di seluruh negara yang dikenal pasti mempunyai bangunan daif, telah dilaksanakan Projek Naik Taraf dan Pembangunan Semula Sekolah.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata prestasi projek adalah rendah dengan sejumlah 123 bersamaan 31.9% daripada 386 sekolah berkenaan telah siap bagi tempoh 2019 hingga 2022.
LKAN turut melibatkan 16 pengauditan prestasi yang dilaksana di 14 kementerian melibatkan projek dan program bernilai RM208.882 bilion.
"LKAN ini terdiri daripada tiga naskah LKAN 2022 peringkat Persekutuan iaitu pertama, aktiviti kementerian jabatan, kerajaan Persekutuan dan badan berkanun. Kedua, pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan dan ketiga satu audit khas mengenai pengurusan hutan dan impak kepada alam sekitar.
Jabatan Audit juga telah membentangkan LKAN kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), di mana 16 pengauditan prestasi telah dilaksana di 14 kementerian melibatkan projek dan program bernilai RM208.882 billion," kata Wan Suraya kepada pemberita dalam sidang media, hari ini.
LKAN juga mendapati Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) merangkumi tiga sektor selaras fungsi ditetapkan.
Bagaimanapun, penghasilan aktiviti R&D yang dilaksanakan masih belum dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan industri getah Malaysia.