fb fb fb fb fb

Hantaran, kandungan kes kemalangan di Meru boleh dikenakan tindakan - MCMC

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Disember- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan semua pengguna media sosial berkenaan perkongsian gambar atau kandungan yang berkaitan kes kemalangan membabitkan pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di Meru, Ipoh Jumaat lepas, boleh dikenakan tindakan.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, "tindakan undang-undang boleh dikenakan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998."

Kenyataan tersebut turut menekankan kepentingan menghormati mangsa dan keluarga, serta menunjukkan empati yang tinggi.

"Sekiranya hantaran telah dimuat naik atau dikongsi berkenaan kejadiaan itu, orang ramai dinasihatkan untuk menurunkan atau memadam kandungan berkenaan.

"Selain itu, semua pihak turut dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan pihak berkuasa," kata kenyataan itu.

Menurut MCMC perkongsian gambar atau rakaman video mangsa seakan melukakan perasaan keluarga mangsa, juga melanggar prinsip dan etika asas.

Semua pengguna media sosial harus membuat pertimbangan sewajarnya dengan tidak menyebarkan gambar atau kandungan berkaitan tragedi berkenaan.

"MCMC menghulurkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi yang membabitkan seorang pelajar sekolah di Meru, Ipoh," menurut kenyataan itu.

Pada 15 Disember lepas, seorang pelajar lelaki Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, maut selepas motosikalnya dilanggar sebuah kereta yang dipercayai dipandu seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.

Pegawai tersebut telah didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI