
KOTA BHARU, 11 Februari- Hampir satu juta kenderaan dijangka memasuki Kelantan sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina minggu hadapan.
- Polis jangka lonjakan trafik pada 17 dan 18 Februari berikutan cuti Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan.
- Op Selamat dilancarkan 15 hingga 20 Februari untuk kawal keselamatan dan kelancaran perjalanan.
- Tumpuan operasi diberikan di jajahan Gua Musang kerana banyak projek pembinaan di laluan itu.
- PDRM akan tingkatkan penempatan anggota untuk kawal lalu lintas terutama di kawasan pembinaan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata peningkatan aliran trafik dijangka berlaku pada 17 dan 18 Februari ini.
Anggaran bilangan kenderaan itu juga seiring dengan awal Ramadan yang dijangka jatuh pada 19 Februari.
“Kebetulan kali ini cuti panjang bersama Tahun Baharu Cina (dan awal Ramadan), hampir sejuta kenderaan dijangka pulang ke Kelantan.
“Kita akan lancarkan Op Selamat bermula 15 Februari hingga 20 Februari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Kontijen Kelantan bulan Februari 2026 di sini hari ini.
Beliau menambah, tumpuan operasi akan diberikan di jajahan Gua Musang berikutan terdapat beberapa projek pembinaan di laluan Kota Bharu–Gua Musang.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan lebih ramai anggota bagi mengawal lalu lintas terutama di kawasan berkenaan supaya perjalanan lebih lancar dan selamat.