KUALA LUMPUR, 20 Mac- Hampir RM5.6 bilion faedah dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKSO) kepada lebih 800,000 penerima tahun lepas.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata pembayaran itu meningkat berbanding RM5.48 bilion yang dibayar kepada lebIh 900,000 penerima pada 2023.
Jelas beliau, pembayaran faedah pence penakat merupakan yang tertinggi, diikuti pencen ilat dan faedah hilang upaya kekal.
Mengulas lanjut, penguatkuasaan siling gaji baharu bagi maksud caruman, yang dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sejak 1 Oktober lalu, telah menyaksikan kepada pembayaran faedah yang lebih baik dan meluas kepada pencarum.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media sempena Majlis Iftar Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) PERKESO di ibu negara.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan faedah kepada sembilan penerima.
Selain itu, lebih 120 penerima terdiri daripada anak yatim, balu dan penjaga menerima sumbangan bantuan sempena Aidilfitri.
Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sekali lagi menegaskan komitmennya dalam memastikan kebajikan semua pekerja terus terpelihara.
Jelas Steven Sim, tekad itu dapat diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif yang dilaksana.
Antaranya termasuk memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja serta pindaan dua akta pada tahun ini.
Beliau menekankan langkah tersebut penting dalam usaha mengangkat martabat pekerja selain memastikan mereka bekerja dalam keadaan yang selamat.
Usaha itu turut membenarkan pekerja memperoleh hak masing-masing dan perlindungan yang sewajarnya.
"Kita akan menambah baik supaya keselamatan sosial pekerja boleh ditambah baik, boleh ditingkatkan untuk semua pekerja.
Kita tidak dapat elakkan musibah kemalangan, malang tidak berbau tetapi sekurang-kurangnya jika berlaku, PERKESO akan berada bersama anda, melindungi anda," kata Steven berucap pada Majlis Iftar KESUMA PERKESO 2025 di ibu negara.