fb fb fb fb fb

Hampir 6,000 kompaun merokok dikeluarkan KKM pada Jun

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 5,951 kompaun bernilai RM1.47 juta sepanjang Jun atas kesalahan merokok.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan berkata, 13,163 notis kesalahan dikeluarkan daripada 25,924 premis yang dilawati melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Muhammad Radzi berkata 3,218 kompaun dikeluarkan bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 yang bertujuan mencegah dan mengawal penyakit demam denggi bernilai RM1.6 juta dengan purata RM500 bagi setiap kompaun.

"Sebanyak 606 kes telah didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama 64 kes telah disabitkan kesalahan dengan denda bernilai RM112,280," katanya.

Sementara itu sebanyak 6,824 premis makanan telah diperiksa pada bulan lepas, dengan 189 premis diarah tutup bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai langkah bagi menjamin kebersihan premis serta makanan dihidangkan," tambah kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI