fb fb fb fb fb

Hampir 3,000 liter minuman keras pelbagai jenama dipatahkan JKDM Perak

Cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama dipatahkan JKDM Perak

IPOH, 3 Januari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 di Pelabuhan Klang, Selangor.

Pengarah JKDM Perak Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu Perak melakukan operasi di kawasan itu pada 28 Disember lalu.

"Hasil pemeriksaan pihaknya mendapati, 2,880 liter minuman keras pelbagai jenama itu disyaki barang tak berkastam telah disimpan di dalam pelabuhan itu.

"Seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 38 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan,' katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat bawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa bawah peruntukan yang sama yang mana jika disabit kesalahan boleh dihukum bawah peruntukan seksyen 135(1)(v)(aa).

Bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana yang lebih tinggi atau dipenjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Terdapat lambakan produk-produk terutamanya rokok, minuman keras yang dibawa masuk ke dalam Malaysia dan dijual secara berleluasa terutamanya dalam talian," tambah kenyataan itu.

Bagaimnapaun orang ramai digesa untuk membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI