fb fb fb fb fb

Hampir 140 rumah Bajau Laut dirobohkan atas faktor keselamatan

KePKAS Sabah menafikan pihaknya membakar kediaman Bajau Laut seperti ditularkan di media sosial/Reuters

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Hampir 140 rumah yang dibina secara haram oleh komuniti Bajau Laut di persisir perairan Sabah baru-baru ini dirobohkan selepas diberi notis pengosongan pada Mei lalu.

Menurut Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah, operasi di kawasan Taman Laut Tun Sakaran itu dijalankan kerana isu keselamatan dan aktiviti rentas sempadan.

Ia juga bertujuan melindungi kawasan terbabit daripada aktiviti menangkap ikan secara haram, bertani dan mendirikan bangunan tanpa kebenaran.

"Kedaulatan undang-undang negara mesti ditegakkan," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan semalam.

Dalam operasi antara Selasa dan Khamis lalu itu, sebanyak 138 penempatan yang dibina secara haram telah dirobohkan. Bagaimanapun, tuduhan ia turut dibakar oleh pihak berkuasa dinafikan.

Memetik sumber polis, kementerian itu melaporkan bahawa beberapa Bajau Laut bertindak membakar rumah mereka untuk meraih simpati dan tular di media sosial.

Bajau Laut, sering dipanggil "gipsi laut", merupakan kumpulan manusia di rantau negeri itu yang tidak bernegara.

Ia juga dikenali sebagai Pala'u tinggal di dalam bot atau di pondok yang dibina di atas air, dan sering berpindah randah di perairan Filipina dan Indonesia.

SITI AISHAH MD ISA