Hampir 1,000 pengunjung daftar sebagai Wira Internet Selamat

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut mencemar duli memberi penerangan mengenai Kempen Internet Selamat/Foto MCMC

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Hampir 1,000 pengunjung mendaftar sebagai Wira Internet Selamat pada Program Kempen Internet Selamat@Bazar Ramadan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Program dianjurkan serentak di 19 bazar Ramadan seluruh negara untuk memperkasakan pengetahuan penggunaan Internet secara bertanggungjawab.
  • Menerapkan pengetahuan dan amalan keselamatan digital dalam kehidupan seharian untuk menghadapi peningkatan aktiviti dalam talian semasa Ramadan.
  • Hampir 10,000 Kit Ramadan diedarkan, mengandungi risalah kempen, pek kurma, botol air dan butang lencana.
  • Program termasuk sesi interaktif keselamatan siber, demonstrasi kawalan ibu bapa, pendedahan penipuan dalam talian dan langkah pencegahan jenayah siber.

MCMC berkata, program yang diadakan secara serentak di 19 bazar Ramadan di seluruh negara itu bertujuan memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan serta amalan penggunaan Internet secara bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.

“Sepanjang penganjuran program tersebut, para pengunjung dilihat aktif berinteraksi di reruai kempen dengan mendapatkan maklumat berkaitan keselamatan siber, menyertai sesi penerangan serta mengambil bahan informasi yang disediakan.

“Sambutan yang positif ini mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan digital, lebih-lebih lagi ketika aktiviti dalam talian seperti pembelian dan urusan kewangan yang kian rancak sepanjang bulan Ramadan.

“Keadaan ini sekali gus memperkukuh matlamat kempen dalam memperkasa orang ramai dengan pengetahuan serta amalan penggunaan Internet secara selamat dalam kehidupan seharian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada program ini, hampir 10,000 Kit Ramadan mengandungi risalah maklumat kempen, satu pek kurma, sebotol air mineral dan butang lencana, telah diedarkan kepada pengunjung bazar di 19 lokasi di seluruh negara.

Antara pengisian menarik program ini termasuk sesi interaktif keselamatan Internet, demonstrasi pengaktifan kawalan ibu bapa, pendedahan mengenai ancaman penipuan dalam talian, salah guna media sosial dan langkah pencegahan jenayah siber.

Kejayaan pelaksanaan program itu turut disokong oleh mobilisasi tenaga kerja MCMC di seluruh negara bersama petugas daripada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Turut hadir pada program itu ialah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di IWK Ecopark, Pantai Dalam manakala Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hadir di Bazar Ramadan Temenggong di Kulai, Johor.

Selain itu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut mencemar duli dan diberikan penerangan mengenai Kempen Internet Selamat ketika menghadiri program Santuni Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13.

MCMC menegaskan, pihaknya komited memastikan persekitaran digital negara terus selamat, berintegriti dan dipercayai selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan ekosistem komunikasi dan multimedia yang mampan serta berdaya tahan.