ENGKILILI, 11 Oktober- Hampir 100 penduduk dari dua buah rumah panjang di Lemanak, Engkilili dalam Bahagian Sri Aman terjejas aikbat tanah runtuh dan banjir.
Kejadian membabitkan lapan pintu bilik di Rumah Unsa, Sekandis dan Rumah Alexandee, Sekandis Baruh.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, 76 penduduk dari lima pintu bilik di Rumah Unsa ditimpa tanah runtuh hingga menyebabkan kebanyakan dinding bahagian dapur roboh.
Ia disebabkan kejadian tanah susur dari bukit di belakang rumah panjang tersebut ekoran hujan lebat sepanjang malam kemarin.
Sementara itu, sebuah rumah persendirian yang didiami empat penghuni di kawasan sama ditenggelami air sehingga paras bahagian bumbung akibat limpahan air disebabkan kenaikan air Sungai Kesit selepas hujan lebat.
Di Rumah Alexandee, 15 penghuni dari tiga pintu bilik terjejas akibat kejadian tanah runtuh dari bukit di hadapan rumah panjang.
Kejadian menyebabkan bahagian dinding hadapan atau ‘ruai’ rumah panjang tersebut roboh.
Terdapat jalan kebun di sekitar kawasan turut terjejas dan terputus jalan disebabkan kejadian itu.
PGO memaklumkan kedua-dua rumah panjang itu masih berdepan risiko berlaku semula tanah runtuh sekiranya hujan lebat masih berlaku kerana terdapat pergerakan tanah semasa pemantauan dijalankan.