fb fb fb fb fb

Hampir 1,100 penduduk terjejas banjir di Pahang

Keadaan banjir di Pahang

KUANTAN, 9 Januari- Jumlah penduduk terjejas banjir di Pahang meningkat kepada 1,077 orang setakat pukul 7.00 malam tadi.

Ia berikutan pertambahan penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Leban Chondong di Rompin.

Menurut Portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 21 PPS masih dibuka menempatkan 306 keluarga di tiga daerah iaitu Rompin, Pekan dan Maran.

Penduduk terjejas banjir paling ramai adalah di daerah Rompin iaitu 696 orang yang ditempatkan di 11 PPS.

Diikuti daerah Pekan seramai 377 orang ditempatkan di sembilan PPS.

Manakala Maran menempatkan 4 penduduk terjejas banjir di PPS Balairaya Kampung Baru Pertanian.

Berdasarkan portal Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam setakat pukul 7.00 malam tadi, lapan sungai di Pahang berada pada paras bahaya, lima pada paras amaran dan 12 pada paras waspada.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI