fb fb fb fb fb

Tahun Naga, permulaan kepada pemesatan Wilayah Persekutuan Labuan

Lebih 1,000 orang hadir Majlis Rumah Terbuka sempena Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan Tiong Hua Labuan

LABUAN, 18 Februari- Tahun 2024 adalah tahun naga yang membawa simbolik kepada kekuatan, keharmonian, kejayaan dan keberuntungan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata semangat itu beliau mengharapkan ia menjadi permulaan kepada pemesatan Wilayah Persekutuan, khususnya kepada Labuan.

Katanya, menjadi amalan di negara ini untuk meraikan perayaan semua kaum dalam suasana yang harmoni. Ini kerana keharmonian masyarakat merupakan kunci kepada kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia dari dulu hingga kini.

Selain itu, nilai kebersamaan dan permuafakatan sedia ada menyemarakkan lagi nilai majmuk sekali gus menyerlahkan imej Malaysia sebagai sebuah negara kaya dengan warisan dan seni budaya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka sempena Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan Tiong Hua Labuan di Dewan Tadika Chi Hwa.

Tambahnya, perbezaan dalam kalangan masyarakat merupakan satu keunikan dan perlu dianggap sebagai kelebihan dan keistimewaan.

Dalam sambutan rumah terbuka itu, hampir 1,000 orang hadir terdiri daripada pelbagai kaum memeriahkan majlis berkenaan dan diserikan dengan persembahan kebudayaan tarian daripada pelajar tadika tersebut serta persembahan tarian singa.

Turut hadir, Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua Labuan Datuk Wong Kii Yii, pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan dan tetamu jemputan.

ROSLINA BINTI DIN