Hak petani kecil terpelihara bawah Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan perlindungan hak pembiak baka di bawah Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) tidak akan menjejaskan hak petani kecil untuk menyimpan dan menggunakan semula benih bagi tujuan sara diri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlindungan hak pembiak baka tidak menjejaskan hak petani kecil simpan dan guna semula benih untuk sara diri.
  • Kementerian ambil pendekatan seimbang laksanakan Konvensyen UPOV 1991 selaras kepentingan nasional.
  • Perlindungan galak lebih pihak hasilkan varieti baharu berkualiti dan beri lebih pilihan benih kepada petani.
  • Petani bebas pilih benih berdaftar dilindungi atau benih lain tanpa tertakluk kepada perlindungan varieti tumbuhan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata kementerian sentiasa mengambil pendekatan seimbang dalam melaksanakan Konvensyen UPOV 1991 agar selaras dengan kepentingan nasional.

“Kementerian ingin menegaskan bahawa perlindungan kepada hak pembiak baka tidak akan mewujudkan monopoli benih, sebaliknya akan menggalakkan lebih banyak pihak terlibat dalam menghasilkan varieti baharu tumbuhan yang lebih berkualiti serta memberi petani ruang memilih varieti bagi meningkatkan pengeluaran bekalan makanan negara.

“Petani juga bebas memilih sama ada menggunakan benih berdaftar yang dilindungi atau benih lain yang tidak tertakluk kepada perlindungan varieti tumbuhan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad di Dewan Negara hari ini berhubung perlindungan hak petani dan pembiak baka.

Menurut beliau, perlindungan hak pembiak baka bertujuan menggalakkan pembangunan varieti baharu tumbuhan berkualiti, memberi lebih banyak pilihan benih kepada petani serta memperkukuh ekosistem benih negara tanpa mewujudkan monopoli.