KUALA LUMPUR, 21 Disember - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memberikan pemilikan Kampung Setia Jaya kepada Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) adalah tepat, kata pengamal undang-undang Azwan Abdul Wahab
Azwan berpendapat keputusan mahkamah adalah berdasarkan suratan hak milik ke atas hartanah itu.
"Sekiranya suratan hak milik tersebut tidak dipertikaikan atau pun tidak dicabar keesahannya (ketepatan), maka segala kenyataan dalam suratan hak milik itu adalah sah dan oleh itu mahkamah sesungguhnya akan membuat keputusan bahawa hartanah tersebut adalah dimiliki oleh Kolej Tunku Abd Rahman.
"Oleh itu saya percaya keputusan mahkamah adalah tepat kerana berdasarkan kepada dokumen yang telah dikemukakan kepada mahkamah," katanya ketika dihubungi RTM.
Sementara itu, Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Salim Bashir menasihatkan agar semua pihak menerima dan menghormati keputusan mahkamah.
"Jika mana-mana pihak merasakan terkilan dengan keputusan yang diumumkan oleh mahkamah, maka pihak tersebut tidak perlu beremosi dan jika pihak merasakan adanya kekhilafan yang dilakukan dalam penghakiman oleh hakim, mana-mana bebas merayu ke mahkamah yang lebih tinggi untuk keputusan lanjut," katanya.
Pada 19 Disember lalu, keputusan Mahkamah Tinggi tidak memihak kepada penduduk Kampung Setia Jaya.
Mahkamah memerintahkan agar semua penduduk untuk mengosongkan tanah tersebut dalam tempoh 18 bulan.
Kira-kira 500 penduduk Kampung Setia Jaya bakal kehilangan penempatan mereka selepas pemilik tanah yang merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi menggunakan saluran mahkamah untuk arahan pengosongan tanah.