fb fb fb fb fb

Haji: Pelanggaran undang-undang calarkan imej negara

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini menguatkuasakan denda 10,000 riyal terhadap pelanggaran peraturan dan arahan musim haji termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa permit haji.

MEKAH, 15 Mei- Malaysia berisiko hilang keistimewaan Arab Saudi sekiranya terdapat pihak yang melakukan kesalahan berhubung visa pelancongan negara itu secara berterusan.

Ia termasuk kesalahan melaksanakan ibadah haji tanpa permit dan tinggal melebihi masa ditetapkan.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata, pelanggaran undang-undang akan mencalarkan imej negara.

"Ia menyalahi Akta Tabung Haji (TH) maksudnya dia pergi buat haji tanpa ada kebenaran atau tidak melalui proses TH iaitu sama ada melalui muassasah TH atau syarikat swasta yang dilesenkan TH.

"Jadi saya mengharapkan janganlah ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang melakukan perkara yang melanggar undang-undang kerana ia mempunyai padah yang cukup besar," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyambut ketibaan jemaah haji Malaysia ke Mekah di Hotel Abraj Al Janadriyah di sini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan Arab Saudi sedang giat melakukan operasi menangkap mana-mana pihak yang cuba menawarkan perkhidmatan haji, selain daripada menggunakan visa haji. 

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini menguatkuasakan denda 10,000 riyal terhadap pelanggaran peraturan dan arahan musim haji termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa permit haji.

Ia melibatkan kawasan Mekah, wilayah tengah, masyair, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara, berkuat kuasa 2 hingga 20 Jun ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM