KUALA NERUS, 13 Mei - Modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi akan dilaksanakan di setiap Tabika Kemas seluruh negara bermula Jun depan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata buat permulaan latihan akan diberi kepada 4,145 guru Tabika sebelum diperluas ke 10,840 Tabika Kemas di seluruh negara.
Jelas Dr Asyraf, inisiatif itu merupakan hasrat Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah KKDW bagi memartabatkan syiar Islam.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, buku Hadis 40 Imam Al-Nawawi mempunyai bahasa yang mudah serta setiap hadis berkenaan memiliki pengajarannya.
"Ini bagi memastikan tidak berlakunya pemikiran ekstrem, dangkal selain memastikan ia berpaksikan kepada sumber atau asas Islam yang sebenar," katanya yang ditemui selepas melancarkan Buku Poket Hadis 40 Imam al- Nawawi mewakili Menteri KKDW Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Unisza kampus Gong Badak di sini.
Pada majlis Itu juga, Asyraf turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari serta Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.