KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Cadangan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk mengehadkan akses media sosial kepada remaja di bawah umur 13 tahun disambut baik susulan kebimbangan terhadap pengaruh negatif platform tersebut terhadap golongan muda.
Ketua Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Sabariah Mohamed Salleh berpendapat, langkah itu dilihat selari dengan tindakan Australia yang telah meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan Keselamatan Dalam Talian (Had Umur Minimum Media Sosial) 2024, yang mengehadkan akses media sosial kepada individu berusia 16 tahun ke bawah.
Beliau berkata, beberapa negara Eropah juga telah menetapkan had umur 13 hingga 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial, dengan syarat kebenaran ibu bapa diperlukan bagi pengguna bawah umur.
"Platform media sosial perlu memainkan peranan lebih bertanggungjawab, namun pengawasan ibu bapa terhadap penggunaan gajet dan akses digital anak-anak juga amat penting," katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau 'electronic Know Your Customer' (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun.
Datuk Fahmi memaklumkan, langkah itu adalah bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform berkenaan benar-benar dikuat kuasa.
Prof Madya Dr Sabariah menegaskan bahawa dalam usaha menghadkan akses, aspek pendidikan turut memainkan peranan penting, terutamanya dalam memperkasakan remaja dengan kemahiran literasi media dan maklumat dengan kebolehan mengakses, menilai, menganalisis dan mencipta kandungan secara kritikal.
"Ini penting kerana hari ini, ramai yang menerima maklumat secara pasif melalui paparan kandungan seperti 'For You Page' (FYP) di media sosial, tanpa memeriksa kesahihan maklumat tersebut," katanya.
Tambahnya, meskipun had umur dilaksanakan, penularan maklumat melalui aplikasi lain seperti WhatsApp tetap berlaku melalui tangkap layar dan rakaman skrin.
Justeru, pendekatan menyeluruh daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan, platform digital, institusi pendidikan dan ibu bapa adalah perlu bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan mental remaja dalam dunia digital masa kini.