
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kerajaan sedang melaksanakan pendekatan regulatory sandbox bagi memperkenalkan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun baharu di platform media sosial di negara ini.
- Kerajaan merancang had umur minimum 16 tahun untuk membuka akaun media sosial melalui regulatory sandbox bersama platform.
- Ibu bapa dibenarkan buka akaun untuk anak, tetapi kawalan dan pemantauan mereka mesti ketat untuk elak risiko jenayah dalam talian.
- Penggunaan MyKad dan sistem perundangan sedia ada dipertimbang untuk pengesahan umur serta keselamatan kanak-kanak dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendekatan medan uji itu sedang diperhalusi bersama syarikat penyedia platform sebagai langkah memperkukuh keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan kanak-kanak dan remaja.
Menurut beliau, beberapa negara termasuk Australia menggunakan kaedah pengesahan identiti tertentu, namun Malaysia mempunyai kelebihan melalui sistem perundangan sedia ada serta penggunaan MyKad untuk tujuan pengesahan umur.
“Hasrat kita adalah untuk mengelakkan kanak-kanak bawah 16 tahun membuka akaun sendiri. Jika mereka berinteraksi dengan individu dewasa yang tidak dikenali, risiko menjadi mangsa jenayah dalam talian adalah tinggi. Kita mahu mencegah perkara itu lebih awal,” katanya pada sidang media Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Sumbangan Ihsan Kasih Ramadan 2026 di Lembah Pantai.
Beliau menegaskan cadangan itu tidak menghalang ibu bapa membuka akaun bagi pihak anak-anak, termasuk untuk tujuan pembangunan bakat seperti menjadi pempengaruh muda, namun kawalan perlu berada di bawah pemantauan ibu bapa.
“Isunya ialah siapa yang mengawal akaun itu. Jika ibu bapa memantau, sebarang mesej mencurigakan boleh dikenal pasti dan tindakan segera boleh diambil,” katanya.
Tambah beliau, kanak-kanak masih dibenarkan mengakses kandungan seperti YouTube, tetapi tidak digalakkan mempunyai akaun peribadi yang membolehkan interaksi dua hala tanpa pemantauan.
Datuk Fahmi turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih bertanggungjawab terhadap penggunaan peranti dalam kalangan anak-anak.
“Peranti bukan pengasuh. Ibu bapa perlu tahu aplikasi apa digunakan, dengan siapa anak berkomunikasi dan kandungan apa ditonton,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, seramai 150 penerima daripada golongan miskin berdaftar dalam sistem e-Kasih menerima sumbangan RM500 setiap seorang melalui dana ICU.
Beliau turut mengumumkan kerjasama Parlimen Lembah Pantai dengan Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia bagi melancarkan inisiatif “RM1 untuk Bantuan Ambulans”, menyasarkan penyediaan 10 unit ambulans untuk kegunaan komuniti setempat.