Had tempoh jawatan PM, elak salah guna kuasa

Datuk Seri Azalina Othman Said

PUTRAJAYA, 29 Januari – Prinsip bahawa tiada sesiapa yang kekal berkuasa selama-lamanya menjadi asas kepada cadangan kerajaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengehadkan tempoh jawatan PM untuk elak kuasa tertumpu kepada seorang individu terlalu lama.
  • Cadangan bertujuan memperkukuh tadbir urus dan mencegah salah guna kuasa.
  • Bukan bermaksud menyekat individu tertentu, tetapi memastikan tiada kuasa yang bersifat kekal.
  • Bekas pemimpin masih boleh terus menyumbang negara dalam peranan berbeza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Malaysia memiliki ramai pemimpin berkeupayaan dan kuasa tidak wajar tertumpu terlalu lama kepada seorang individu.

Cadangan berkenaan bukan bertujuan menyekat mana-mana individu, sebaliknya bagi memperkukuh tadbir urus serta mencegah penyalahgunaan kuasa.

“Isunya bukannya orang tu tak elok dan tak boleh. Isunya ialah bukan kerana orang tu buruk tetapi lebih untuk menentukan tidak adanya apa ni kuasa yang begitu besar tu kita tidak mahu itu kuasa itu dilihat sebagai selama-lamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sesi Dialog Awam Kerangka Akauntabiliti MADANI Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri di sini.

Datuk Seri Azalina turut menegaskan bahawa pemimpin yang telah berundur masih boleh menyumbang kepada negara dalam kapasiti berbeza.