
KUALA LUMPUR, 8 Januari – Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal disifatkan sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus institusi dan mengelakkan pemusatan kuasa eksekutif di negara ini.
- Had dua penggal dilihat sebagai mekanisme memperkukuh tadbir urus dan mengurangkan pemusatan kuasa eksekutif.
- Keberkesanan bergantung pada kerangka pelaksanaan yang jelas, termasuk pindaan Perlembagaan dan definisi 'penggal'.
- Sokongan politik merentas parti penting untuk pelaksanaan berkesan, mampan dan meningkatkan kebolehjangkaan dasar.
- Perubahan perlu dimasukkan dalam pembaharuan institusi menyeluruh, bukan langkah segera, untuk menjaga keberkesanan kerajaan.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mazlan Che Soh berkata, daripada sudut tadbir urus institusi, had penggal berfungsi sebagai mekanisme kawal selia yang melengkapi sistem semak dan imbang sedia ada.
Menurut beliau, cadangan yang diutarakan Perdana Menteri itu selari dengan pandangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyifatkannya sebagai satu ‘game changer’ besar dalam agenda reformasi institusi negara.
“Had dua penggal ini berpotensi menghadkan pemusatan kuasa eksekutif dan menjadi satu pembaharuan institusi yang signifikan dalam landskap pentadbiran Malaysia,” katanya kepada RTM.
Bagaimanapun, Dr Mazlan menegaskan bahawa impak sebenar reformasi tersebut bergantung kepada kerangka pelaksanaannya, termasuk keperluan pindaan Perlembagaan yang jelas dan tidak bersifat ambiguiti (kesamaran), khususnya dalam mentakrifkan maksud ‘penggal’ jawatan Perdana Menteri.
Beliau turut menekankan kepentingan sokongan politik merentas parti bagi memastikan cadangan itu dapat dilaksanakan secara berkesan dan mampan.
“Dengan sokongan politik yang menyeluruh, had penggal ini berupaya meningkatkan kebolehjangkaan dasar, menjamin kestabilan pentadbiran serta memudahkan perancangan pembangunan jangka sederhana dan panjang,” jelasnya.
Dalam masa sama, Dr Mazlan berpandangan bahawa perbincangan mengenai had tempoh jawatan Perdana Menteri wajar diletakkan dalam kerangka pembaharuan institusi yang menyeluruh, dan bukannya dilaksanakan sebagai langkah segera.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan objektif pengukuhan akauntabiliti eksekutif dapat dicapai tanpa menjejaskan kelangsungan dan keberkesanan fungsi kerajaan.