Had 50 liter diesel bersubsidi cukup sokong operasi harian nelayan

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil/ Foto FB LKIM

IPOH, 3 April – Had maksimum 50 liter petrol bersubsidi sehari dilihat mencukupi bagi menyokong operasi harian kebanyakan nelayan di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Subsidi diesel hanya bantu sebahagian kos, bukan menampung seluruh perbelanjaan nelayan.
  • Penggunaan bahan api bergantung pada kapasiti bot dan keperluan operasi masing-masing.
  • Nelayan yang perlukan lebih perlu menanggung lebihan kos sendiri.
  • Bekalan ikan negara mencukupi; kenaikan harga lebih berkaitan logistik dan rantaian bekalan, bukan nelayan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, subsidi itu hanya sebagai bantuan sebahagian kos, bukan menampung keseluruhan perbelanjaan setiap kali nelayan turun ke laut.

Menurut beliau, penggunaan bahan api bergantung kepada kapasiti bot dan keperluan operasi masing-masing.

Katanya, nelayan yang memerlukan lebih daripada had ditetapkan perlu menanggung lebihan kos tersebut.

”Nelayan masih menikmati subsidi, manakala sumber ikan di laut ketika ini juga banyak.

”Sekiranya berlaku kenaikan harga yang ketara di pasaran, ia berkemungkinan berpunca daripada faktor lain dalam rantaian bekalan, termasuk aspek logistik dan sebagainya.

“Saya percaya terdapat inisiatif khusus yang sedang diusahakan oleh kerajaan bagi menangani isu tersebut,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Jualan Ikan Murah LKIM sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bekalan ikan negara kekal mencukupi untuk permintaan domestik.

Katanya, jika berlaku kenaikan harga, ia berkait dengan faktor logistik dan pengangkutan, bukannya berpunca daripada nelayan.