fb fb fb fb fb

Hab sementara di terminal, khas pemandu teksi Kuala Kedah

Terminal Feri Kuala Kedah

KUALA KEDAH, 27 September- Sebuah hab sementara akan disediakan khas untuk pemandu teksi Kuala Kedah yang beroperasi di Terminal Feri Kuala Kedah.
 
Projek menaik taraf Jeti Kuala Kedah yang sedang rancak berjalan ketika ini, menyebabkan pemandu teksi di kawasan tersebut tiada tempat untuk beroperasi.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, hasil perbincangan bersama Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Dzowahir Ab. Ghani dan Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Yusri Md Daud, kedua-dua pihak bersetuju menyediakan sebuah hab sementara untuk tempoh tiga tahun.
 
Tempoh hab sementara tersebut boleh dilanjutkan sehingga projek naik taraf terminal feri berkenaan siap.
 
"Penyediaan hab sementara itu akan memberi kemudahan kepada 42 pengusaha teksi yang terlibat untuk terus mencari rezeki secara lebih kemas, tersusun dan teratur seperti sebelum ini." katanya di sini.
 
Selain perkhidmatan feri, perkhidmatan teksi juga tidak kurang pentingnya terhadap keperluan pengguna, sama ada pelancong atau penduduk tempatan.
 
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, Projek Naik Taraf Jeti Kuala Kedah itu bagi meningkatkan kecekapan pengoperasian feri penumpang, kargo dan perkhidmatan RORO di laluan marin Kuala Kedah ke Langkawi.

Langkah itu bagi membantu pemulihan industri pelancongan di Permata Kedah.
 
Skop utama projek melibatkan kerja meroboh dan membina terminal baharu berkonsepkan teknologi hijau.

Ia mampu menampung sebanyak 3 ribu penumpang berbanding kapasiti sedia ada iaitu 800 penumpang sahaja.
 
Projek naik taraf itu juga melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat dengan 420 lot serta infrastruktur, fasiliti bangunan dan kerja landskap.
 
 

Trainee