NILAI, 20 Mac- Semua guru diminta tidak menggunakan pelajar terutamanya murid sekolah rendah sebagai bahan kandungan media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ini kerana kandungan sedemikian boleh disalah guna oleh individu yang tidak bertanggungjawab termasuk bagi tujuan jenayah seksual kanak-kanak.
Menurutnya, tindakan akan diambil sekiranya terdapat aduan mengenai kandungan yang tidak wajar atau jelik melibatkan golongan berkenaan.
"Isu keselamatan data peribadi, wajah mereka, nama mereka ini mungkin akan menjadi satu isu.
"Jadi, kita minta guru-guru pertama sekali elak masukkan wajah anak murid mereka terutamanya sekolah rendah dimasukkan dalam media sosial", katanya ketika ditemui media pada program Bicara Tokoh Kepimpinan MADANI di Bandar Enstek, Nilai.
Beliau berkata, kementeriannya juga akan menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha menjadikan program internet selamat sebagai fokus utama.
Sementara itu, Datuk Fahmi berkata, Kempen Jelajah Internet Selamat akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah di seluruh negara termasuk institut pengajian tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
Ia bertujuan memberi pemahaman dan kesedaran tentang kepentingan keselamatan dalam talian.
"Mula di Lembah Klang dan ia akan memanfaatkan komuniti MADANI bawah Jabatan Penerangan dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), ada 1,100 NADI di seluruh negara.
"Jadi, mereka akan berkolaborasi bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga para pelajar mahasiswa dari kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk membantu dalam usaha meningkatkan kesedaran supaya kita semua menggunakan internet dengan selamat
"Kita tak nak kira sediakan internet yang murah, yang laju, internet yang meluas, tetapi internet itu tidak selamat, ia sebagai pelengkap kepada program infrastruktur yang kita laksanakan", katanya.